0

JANJI YANG PASTI AKAN DITEPATI

Posted by Nur Izz Qatrunnada on 10:48 PG
Janji itu..
Membuatkan setiap jiwa akan merasa resah
Mengelak untuk berbicara tentangnya
Sedangkan semua orang ketahui bahawa
Janji perlu ditepati

Janji itu..
Dah bersediakah aku tunaikannya..
Dah bersediakah dia untuk memnunaikannya..
Bagaimana dengan kamu? Awak? dan Mereka?
Janji itu perlu ditepati..

Janji itu..
Seberapa banyak usaha yang dilakukan
Untuk menunaikan janji itu
Dah cukupkah bekalan?
Dah cukupkah segala persiapan?
Dia sedang menanti untuk kita kotakan janji itu..

Janji itu..
Adalah janji kita dengan Pencipta Yang Maha Agung
Dunia ini hanya pinjaman buat kita
Nafas ini, degupan jantung ini..
Segala-galanya adalah pinjaman..
Bukankah segala yang dipinjamkan, perlu dipulangkan kepada tuannya?

Ketika malaikat Izrail datang menghampiri
Untuk mengambil semula yang Allah pinjamkan kepada kita
Adakah kita akan memberinya dengan tenang, senang hati dan redha
Atau kita akan berkata "Aku belum puas menikmati semuanya..!!"
Bagaimana kita kelak..

Janji itu..
"Dan Allah sekali-kali tidak akan Menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.(QS. 63 ; 11)"
Bila-bila sahaja Dia akan menuntut janjiNya..
Adakah kita sudah bersedia?
Atau masih leka dan berkata, "Ala..lambat lagi..umur masih muda.."

Ketika ditanya apa yang kau kerjakan selama ini
Nanti kau akan ditanya
Tangankan berkata apa yang dilakunya
Kaki bicara kemana ia melangkah
Mata bersuara apa pandangannya
Telinga bercerita apa yang di dengarnya

Tiba detik masa mulut tak dibuka
Tiada berkata hanya kan mendengar
Tubuh bersuara
Saksi berbicara
AMALAN SEMATA...

Semoga medan jihad mengantarkan kematian kita
Atau saat menyebut nama-Mu sebagai ucapan terakhir kita
Atau saat Sujud shalat kita menghadap Rabb
Atau saat Hari Jum’at sebagai hari terakhir kita
Atau saat amalan terbaik kita,
Malaikat maut melepas jasad kita.

Amin…

Janji itu..
Walau apa jua keadaan kita..
Kita pasti akan tunaikannya..
Cuma adakah kita bersedia atau tidak?

|
0

INILAH PERMULAANYA

Posted by Nur Izz Qatrunnada on 1:44 PTG
Aku termenung memikirkan mengenai mesej yang diberikan oleh sahabat baruku. Aku mengenali dia di dalam sebuah program yang pertama kali aku dan sahabat-sahabat jalankan. Perkenalanku dengannya baru sahaja sebulan tapi dia dah ku anggap seperti sahabatku kerana dia banyak mengajar aku mengenai hakikat kehidupan sebagai seorang hamba dan khalifah di muka bumi ini. Setiap hari ada sahaja perkara baru yang ku pelajari dari dia.

“Salam. Nur, saya nak tanyelah,” ayat yang terpapar di skrin telefon bimbitku ketika aku membuka sms yang ku terima. Aku segera menekan butang reply dan membalas sms tersebut.

“Iye,tanyelah. Ape dia,”

Handphoneku berbunyi menandakan sms masuk. Aku menekan butang read dan membaca sms tersebut.

“Apa impian Nur bagi dunia dan akhirat,”. Aku termangu-mangu ketika membaca sms tersebut. Otakku ligat berfikir, bertanya pada diri apakah impianku.

“Erm, semua orang pasti mahukan kebahagiaan serta kejayaan di dunia dan akhirat.” Balasku.

Dia kemudian membalas, “Apakah ciri-ciri orang yang berjaya ye Nur?”

Sekali lagi aku mengerah otakku supaya berfikir. Orang yang selalu membuat kebaikan pasti akan berjaya kerana dia disayangi oleh Allah. Aku segera teringat pada satu ayat di dalam bahasa Arab yang pernah aku pelajari ketika di sekolah agama rakyat dahulu.

“Amar ma’ruf nahi munkar..”, balasku dan menekan butang send.

Lama ku tunggu, beberapa minit kemudian handphone ku berbunyi menandakan ada sms yang diterima. Aku membuka dan membaca sms tersebut.

“Itu tindakan, bukan ciri-ciri”, balas sahabatku. Dari ayatnya ku rasakan bahawa dia bertegas dengan kata-katanya. Aku mula rasa serba salah dan tertanya-tanya adakah jawapan aku tadi kurang tepat atau aku tersalah cakap? Aku segera membalas sms tersebut.

“Jadi apa dia ciri-cirinya?”

Dia membalas, “Cari sendiri.”

Aku agak terasa hati dengan sms sahabatku itu tapi aku segera membuang perasaan tersebut dan mula bersangka baik.

“Cari sendiri? Di mana?” balasku dengan harapan bahawa dia akan memberiku jawapan.
Senyap. Dia langsung tidak membalas smsku.

Setahun kemudian, aku mula aktif di dalam medan perjuangan yang sama dengan sahabatku. Aku di panggil untuk menjadi fasilitator bagi satu program motivasi di sebuah sekolah menengah di daerahku.Sahabatku dan beberapa orang sahabat yang lain juga turut terlibat sebagai fasilitator. Pada malam sebelum program bermula, kami terlibat dengan TOT (training of trainer) bagi membincangkan modul-modul yang akan dibawa serta disampaikan oleh fasilitator-fasilitator di dalam Latihan Dalam Kumpulan (LDK) nanti. Aku rasa agak gementar kerana ini adalah pertama kali aku memegang peranan sebagai fasilitator dan tiada pengalaman langsung jika nak dibandingkan dengan sahabatku itu tetapi aku kuatkan diri untuk menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaiknya.

Sambil membincangkan modul, kami telah dihidangkan dengan air teh dan biskut. Salah satu modul yang dibincangkan ketika itu adalah Konsep Al-Falah (kejayaan). Sambil ketua fasilitator menerangkan mengenai modul tersebut, aku membahagikan cawan-cawan yang berisi air teh panas kepada sahabat-sahabat yang lain bagi menghilangkan haus di tekak. Ketua fasi menjelaskan bahawa modul ini berkaitan dengan Surah Al-Mukminun iaitu ayat 1-11 yang menerangkan mengenai cirri-ciri mukmin yang berjaya. Aku terkedu mendengar penjelasan tersebut tanpa menyedari bahawa jariku tercelup di dalam teh panas yang hendak ku berikan pada seorang sahabat di sebelahku.

Aku merasa jariku perit dan baru terpandang bahawa jariku tercelup di dalam cawan milik sahabat disebelahku. Aku meminta maaf kepada sahabatku itu lalu bangun hendak membasuh jariku serta mengambil secawan air yang baru untuk sahabatku tanpa menyedari bahawa handphoneku berada di atas ribaku sejak dari tadi. Ketika hendak bangun, serentak itu handphoneku terjatuh ke atas lantai dan semua mata memandang ke arahku. Aku merasa sangat malu dan meminta maaf dan berlalu ke dapur. Ketika hendak ke dapur, tanganku secara tak sengaja tersangkut pada poster yang tergantung di dinding lalu poster itu terjatuh. Sekali lagi semua mata memandang ke arahku.
“Ya Allah.Kenapa dengan aku niiiii..!!”, jerit hatiku. Aku rasa seperti hendak menangis tetapi aku cover dengan tertawa.

Aku menggantung kembali poster tersebut dan pergi ke dapur sambil di perhatikan oleh sahabatku itu. Kebetulan ada seorang kakak yang agak rapat denganku berada di dapur, menerpa ke arahku.

“Kenapa ni dik, adik ok ni?”, Tanya kakak tersebut. Aku segera memeluk dia, dan aku rasa seperti hendak menangis di dalam pelukannya tetapi aku malu. Aku memandang wajahnya dan menggelengkan kepala lalu tersenyum.

“Tak ada apa-apa kak, Nur ok,”. Kataku lalu meminta izin untuk pergi menyertai sahabat-sahabat yang lain selepas menuang secawan air untuk sahabat yang duduk di sebelahku tadi.

Aku perasan sahabatku yang itu memandangku dari tadi lalu aku memandangnya, dia menggeleng-gelengkan kepalanya mungkin menandakan kurang senang dengan perlakuanku tadi. Kemudian dia mengalihkan pandangannya kepada ketua fasilitator. Untuk focus kepada perbincangan pada malam itu. Hatiku tertaut dengan penerangan yang diberikan mengenai modul itu tadi dan mula fahami bahawa itulah yang aku cari-cari selama ini..

”Mungkin dia tak fahami mengapa aku begitu tadi,” bisik hatiku

Setelah selesai perbincangan, sahabatku itu pulang ke rumahnya bersama abangnya. Dia tidak menyertai kami semua bermalam di pejabat kerana tempat itu hanya di khaskan untukku dan sahabat-sahbat yang lain. Dia bermalam di rumahnya. Ketika hendak tidur, handphoneku berbunyi menandakan sms diterima. Aku membuka dan membacanya.

“Selamat malam. Tido, jangan asyik nak ketawa je,”sms yang ku terima dari sahabatku itu

“Ketawa?”,persoalan itu timbul di fikiranku

“Kenapa dia kata jangan asyik nak ketawa aje?”, bisik hatiku. Aku teringat tentang peristiwa tadi yang menyebabkan aku terpaksa cover dengan tertawa. Aku mula faham maksud sahabatku itu.

“Selamat malam juga buat kamu, sahabatku. Baiklah, selepas ini hanya tersenyum,” balasku.

Ketika menjalankan LDK, aku cuba sebaik mungkin untuk menyampaikan mesej bagi menyedarkan adik-adik mengenai hakikat kehidupan ini sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini. Di saat menjalankan slot Konsep Al-Falah , aku lebih memahami mengenai apakah ciri-ciri yang perlu ada pada seorang mukmin yang ingin memperolehi kejayaan. Baru ku sedari apakah mesej yang ingin disampaikan oleh sahabatku itu. Ku merasakan sungguh terharu kerana dia cuba untuk membentuk dan membimbing diriku kearah yang lebih baik dari sebelum ini. Sujudku kepada Allah s.w.t kerana memberikanku seorang sahabat yang sangat baik dan aku telah menemui jawapan yang selama ini ku cari-cari. Kini ku fahami mengapa dia tidak menjawab persoalanku setahun yang lalu. Dia mahu aku lebih memahami serta menghayatinya kerana jika dia memberikanku jawapan setahun yang lalu, mungkin aku tidak akan merasai apa yang aku rasakan sewaktu aku menemui jawapan itu. Sahabatku itu pernah berkata kepadaku bahawa dia mahu aku merasai nikmatnya hidup di dunia ini seperti apa yang dia rasakan dan kini aku fahami bagaimanakah nikmat yang dia maksudkan ketika itu,,

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
1. Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,
2. (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya,
3. Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna
4. Dan orang-orang yang menunaikan zakat,
5. Dan orang- orang yang menjaga kemaluannya,
6. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela
7. Barangsiapa mencari yang di sebalik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.
8. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya,
9. Dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya.
10. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi
11. (ya’ni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka akan kekal di dalamnya.


Syukur Ya Rabb dengan ketenangan hidup yang telah Kau berikan padaku...

|

Copyright © 2009 Nur Yang Termasyhur All rights reserved. Theme by Laptop Geek . | Bloggerized by FalconHive .